Monday, August 17, 2009

Tugasan untuk kelas cg Idah-bah 1 ( untuk murid 3N, 2n, 2exP,1n,1nt,2nt ) PENGGAL 3 MINGGU 9

Assalamualaikum murid-murid, sila jawab soalan-soalan ini di blog masing-masing:

BAHAGIAN C (26 markah )

Arahan: Baca petikan karangan yang berikut dengan teliti.


Usianya menjelang senja. Tempoh persaraan pun bakal tiba. Namun, tidak seperti ramai kaum Adam yang lain, Haji Mohamad Shahari Haji Ahmad yang berusia 55 tahun itu pula sibuk menghadiri kelas malam, bersengkang mata dan memerah otak untuk meraih segulung ijazah. Ternyata usaha Pembantu Kanan Komander (Operasi Lapangan), Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) di Penguasa Woodlands itu tidak sia-sia. Bukan setakat menerima Ijazah Sarjana Muda. Tahun ini beliau turut meraih Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniaga (Pengurusan Antarabangsa) dari Royal Melbourne Institute of Technology (RMIT).

Bekas pelajar Sekolah Menengah Sang Nila Utama dan Sekolah Menengah Tun Seri Lanang itu menjelaskan bahawa beliau rasa terancam. Di tempat kerjanya, banyak perubahan telah berlaku seperti kemasukan ramai pegawai baharu dengan kelayakan yang lebih tinggi. Beliau ingin daya inteleknya ikut serentak dengan pegawai-pegawai muda ini. Dengan usaha beliau meningkatkan diri ini, beliau ibarat membezakan dirinya daripada kakitangan lain. Ia umpama satu tukikan buat dirinya.

Kemampuan beliau memperolehi Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Pengurusan dari Universiti London pada tahun 2002 telah membakar semangatnya untuk melangkah setapak lagi. Kelulusan itu memberi beliau galakan dan menunjukkan yang beliau boleh belajar dan masih ada keupayaan. Semangat beliau terus berkobar-kobar dan beliau meneruskan momentum itu.

Namun, seperti ramai pelajar lanjut usia, laluannya juga tidak mudah. Apatah lagi dengan waktu bekerjanya yang mengikut giliran dan beliau juga kadang kala boleh dipanggil bekerja bila-bila masa sahaja. Beliau juga harus bersikap adil dalam membahagikan masa antara kerja, pelajaran dan keluarga.

Pada mulanya, Haji Mohamad Shahari ragu-ragu akan keupayaannya setelah lebih daripada 30 tahun meninggalkan bangku sekolah. Apa yang beliau belajar tidak ada kena-mengena secara langsung dengan tugas beliau tetapi dalam mencari ilmu, beliau mahu luaskan pilihan kerana jika seseorang itu hanya setakad mencari kursus yang berkaitan dengan bidang yang diceburi, maka dia mengehadkan dirinya daripada kesempatan untuk belajar perkara-perkara yang baharu.

Bagi mereka yang menghadapi cabaran menjadi pelajar sambilan, Haji Mohamad Shahari menasihatkan agar mereka menumpukan seluruh tenaga sejurus sahaja keputusan untuk melanjutkan pelajaran dibuat. Mereka juga perlu berusaha untuk memahami konsep di sebalik setiap mata pelajaran yang diambil. Namun, yang paling penting sekali ialah hakikat bahawa selagi kita tidak mencuba, kita tidak akan tahu sejauh mana kemampuan kita. Justeru, kita perlu belajar dan terus belajar kerana ilmu itu begitu luas.

Arahan: Berdasarkan petikan karangan di atas, jawab soalan-soalan yang diberikan. Kemudian, tulis jawapan kamu di Kertas Jawapan yang disediakan.


(24) Nyatakan pencapaian yang dikecapi Encik Haji Mohamad Shahari. (2m)


(25) Apakah perkara yang membuat Encik Haji Mohamad Shahari mahu melanjutkan pelajarannya walaupun sudah lanjut usia? (2m)


(26) Nyatakan cabaran yang ditempuhi oleh Encik Haji Mohamad Shahari sebagai seorang pelajar sambilan. (4m)


(27) Berikan dua sifat terpuji yang ditunjukkan oleh Encik Haji Mohamad Shahari. Berikan alasan-alasan yang kukuh untuk menyokong jawapan kamu. (6m)


(28) Berikan dua pengajaran yang terdapat dalam kisah tersebut yang boleh kamu teladani. (6m)


Bagi Soalan 29 hingga Soalan 31, terangkan maksud perkataan atau frasa yang diberikan berdasarkan petikan dengan menggunakan tidak lebih daripada 10 perkataan.


(29) menjelang senja (baris 1) (2m)


(30) rasa terancam (baris 11) (2m)


(31) membakar semangatnya (baris 18) (2m)



***** SELESAI *****

No comments: